KUCHING, 25 Feb : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima watikah perlantikan sebagai Pro Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2022 bagi tempoh lima tahun.
Menteri Muda Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I negeri, Dr. Annuar Rapaee berkata, pelantikan itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap komitmen Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari yang berterusan menyalurkan pembiayaan untuk kemajuan pendidikan tinggi di negeri ini.
Katanya, ini juga merupakan pelantikan pertama Ketua Menteri setelah UTS dinaik taraf daripada sebuah kolej universiti kepada sebuah universiti penuh.
“UTS juga akan mengadakan Majlis Konvokesyen pada 5 dan 6 Mac ini dan mewakili Lembaga Pengarah, kami sangat berbesar hati apabila Ketua Menteri bersetuju menerima pelantikan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjung hormat bersama Lembaga Pengarah UTS ke Wisma Bapa Malaysia bertemu Abang Johari di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Annuar berkata, selaras dengan penaikrafan status UTS kepada univerisiti penuh milik Kerajaan Sarawak , pihaknya berikrar untuk terus berusaha meletakkan sistem pendididkan negeri setaraf dengan piawaian global. -TVS