DARO, 24 Feb : Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di kawasan Parlimen Igan selama dua hari yang bermula hari ini mendapat sambutan amat menggalakan daripada orang ramai.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, beliau berharap penduduk kawasan sekitar akan mengambil peluang untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga 20 peratus lebih murah ditawarkan sempena program itu yang akan diteruskan esok.
Katanya, PJKM merupakan antara inisiatif segera yang dilancarkan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat berikutan kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini.
“Kerajaan menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama (kerajaan) pada waktu sukar yang luar biasa ini.
” Situasi ini yang turut melanda banyak negara lain dan memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan PJKM Peringkat Igan di perkarangan tempat letak kereta Long Heng Mini Market di sini pagi tadi.
PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah termasuklah ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan keperluan rumah terpilih.
Sementara itu, Ahmad Johnie turut mengingatkan para peniaga agar sentiasa beretika serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
 Katanya, ini kerana Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (PPDNHEP) Cawangan Mukah akan terus melaksanakan pemantauan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan orang ramai. -TVS