Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kes rompakan berkumpulan di Bintulu, suspek berjaya ditangkap

Kes rompakan berkumpulan di Bintulu, suspek berjaya ditangkap

BINTULU, 24 Feb: Kes rompakan berkumpulan yang melibatkan sebuah hotel di Parkcity Commercial Square pada Ahad lepas berjaya diselesaikan dalam tempoh 48 jam apabila empat suspek yang dipercayai terlibat ditangkap pada Selasa. 

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili, semua suspek tersebut ditahan di dua lokasi berasingan di Jalan Bintulu-Tatau dan Batu 7 di Jalan Bintulu-Miri, antara jam 5.15 petang hingga 6.15 petang. 

Turut dirampas adalah sebuah kereta, sebilah parang, bekas wang tunai dan pakaian yang diguna suspek ketika melakukan rompakan. 

“Pihak polis percaya bahawa dengan tangkapan empat suspek ini, kes tersebut telah berjaya diselesaikan,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada hari ini. 

Dalam kejadian rompakan yang berlaku sekitar jam 4.30 pagi, seorang wanita yang bekerja di kaunter hotel telah didatangi dua lelaki tidak dikenali yang pada mulanya bertanyakan tentang bilik kosong kerana ingin bermalam. 

Namun, salah seorang daripada mereka tiba-tiba bertindak memanjat kaunter lalu mengacukan sebilah parang kepada wanita itu sambil meminta wang. 

“Pengadu yang ketakutan seterusnya membuka laci dan mengambil semua wang yang dianggarkan bernilai RM3,717 dalam peti di kaunter tersebut,” jelas Zulkipli. 

Seorang daripada empat suspek yang berusia antara 29 hingga 37 tahun itu juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Selain itu, salah seorang suspek didapati mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes samun (tiga) dan dadah (satu) serta pernah menjalani hukuman penjara selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” kata Zulkipli. 

Keempat-empat suspek kini dalam tahanan reman hingga 1 Mac ini (selama enam hari) bagi membantu siasatan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata yang, jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau dikenakan denda atau sebatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan