MUKAH, 24 Feb: Bekalan Kit Ujian Kendiri Covid-19 (RTK) di semua farmasi di Mukah adalah mencukupi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah memaklumkan, pengesahan itu dibuat berdasarkan hasil pemeriksaan di sekitar Bandar Mukah pada Rabu bersama empat anggota KPDNHEP Cawangan Mukah.
Menurut Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah Salihin Den, semua harga jualan kit berkenaan masih dijual di bawah harga yang diwartakan oleh kementerian.
“Bekalan RTK yang ada di Mukah ini ialah kebanyakan dari Kuching dan Sibu.
“Bagaimanapun dua kes telah dikenal pasti di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti-Pencatutan 2011 dan telah diambil tindakan serta disiasat oleh pihak Penguat Kuasa KPDNHEP.
“Hal ini kerana Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang dipamerkan tidak memiliki label pengimport pada bungkusan fizikal atau kotak barangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menjelaskan, sekiranya didapati bersalah dua buah premis termasuk syarikat terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.
“Apabila melibatkan pertubuhan perbadanan denda tidak melebihi RM50 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun akan dikenakan atau kedua-duanya jika bukan melibatkan suatu pertubuhan perbadanan,” katanya lagi.
Terdahulu, kerajaan memberi jaminan, bekalan RTK Antigen Covid-19 mencukupi di seluruh negara termasuk di negeri yang merekodkan kes positif tinggi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid turut berkata, setakat ini terdapat kira-kira 18 juta unit kit ujian untuk menampung keperluan rakyat dan tidak timbul isu kekurangan bekalan di pasaran kerana pemeriksaan dijalankan mendapati ia mencukupi. – TVS