SIBU, 22 Feb: Tiga anggota sekeluarga cemas apabila rumah dua tingkat yang didiami mereka di Lorong 2 Jalan Delta di sini mengeluarkan kepulan asap tebal sehingga memaksa mereka untuk bergegas keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri pada petang tadi (Selasa).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral, Suna Kaha, berkata kebakaran itu dilaporkan berlaku pada jam 1.43 petang, dan 11 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, sepasukan bomba mendapati asap hitam telah memenuhi ruang rumah di tingkat atas yang menyebabkan anggota terlibat menggunakan alat pernafasan untuk memasuki ruang bilik tidur di tingkat atas,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Menurut Suna, anggota bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.00 petang.
Rumah terbabit disewa oleh sebuah keluarga yang dianggotai tiga orang berusia antara 24 hingga 26 tahun.
”Kebakaran di dalam bilik tidur di tingkat atas itu hanya melibatkan tilam dan katil dengan anggaran peratusan kebakaran lebih kurang 30 peratus,” kata Suna.
Setelah selesai memastikan keadaan sekeliling selamat, operasi pemadaman ditamatkan pada jam 2.30 petang.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Empat Sibu. – TVS