PARIT BUNTAR, 22 Feb: Seorang pemilik kedai motosikal maut dipercayai selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki di premis kedai tersebut yang terletak di Titi Serong, Tanjung Piandang, di sini pada petang semalam (Isnin).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman, berkata suspek yang berusia 52 tahun itu kemudian menyerah diri di Balai Polis Simpang Lima selepas kejadian pada kira-kira jam 2.45 petang.
Anuar berkata,suspek membuat pengakuan bahawa dia telah menikam mangsa yang dikenali sebagai Tan Hee Song, 43 tahun, di kedai terbabit.
“Soal siasat awal mendapati punca kejadian berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dituduh menukar beberapa komponen motosikal miliknya tiga minggu lepas,” kenyataan Anuar menyebut di sini pada malam tadi.
Beliau berkata mangsa disahkan mati semasa menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – TVS