LONDON, 20 Feb : Pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) merupakan antara pesawat komersial ‘yang dikesan’ berjaya melakukan pendaratan ‘sempurna’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, di sini ketika angin kencang dan hujan lebat disebabkan oleh Ribut Eunice yang melanda beberapa negara Eropah.
Selain Malaysia Airlines, pesawat komersial milik negara jiran, Singapore Airlines turut berjaya mendarat dengan selamat dalam situasi cuaca buruk berkenaan yang mana rakaman itu tular di media sosial.
Rakaman dramatik berkenaan disiarkan oleh Big Jet TV menunjukkan beberapa pesawat termasuk dari syarikat penerbangan Afrika telah membuat pendaratan di Heathrow yang merupakan antara lapangan terbang paling sibuk di dunia.
Memetik laporan Reuters, British Airways telah membatalkan sekurang-kurangnya 80 penerbangan yang dijadual tiba dan berlepas dari London, termasuk 44 di Heathrow kerana cuaca buruk.
Sementara itu, amaran angin kencing dan ombak besar di kawasan pantai di barat daya England dan beberapa negara lain termasuk Belgium telah dikeluarkan supaya penduduk lebih berwaspada.