MELAKA, 20 Feb: Seorang lelaki dipercayai menikam teman wanitanya sebelum bertindak membunuh diri sendiri hanya kerana perselisihan faham dalam hubungan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang, mayat gadis berusia 22 tahun ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tusukan pisau di badan.
Katanya, turut ditemukan mayat teman lelaki gadis terbabit berusia lewat 20-an dengan kesan tikaman pisau pemotong sayur pada perutnya.
“Kita menerima maklumat kejadian daripada rakan gadis terbabit yang sempat menghubunginya meminta tolong selepas berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan.
“Sebaik tiba, pintu rumah dalam keadaan berkunci menyebabkan kita terpaksa meminta bantuan bomba untuk memecah masuk rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pemuda terbabit dipercayai terlebih dahulu menikam teman wanitanya selepas berlaku perselisihan faham sebelum menikam dirinya sendiri berdasarkan penemuan sebilah pisau pemotong sayur di perut pemuda berkenaan.
“Pemeriksaan turut menemukan minyak tanah berhampiran pemuda terbabit dengan kesan mulut yang berbuih yang mana ada kemungkinan dia cuba bunuh diri dengan meminum minyak tanah sebelum menikam dirinya sendiri.
“Sebelum kejadian, gadis terbabit yang dikesan positif COVID-19 berdasarkan semakan di aplikasi MySejahtera sempat menghubungi rakannya bagi meminta bantuan,” tambahnya lagi.
Christopher bagaimanapun berkata, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan punca kematian pasangan muda berkenaan. – TVS