SIBU, 20 Feb: Seramai 2,748 pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun didaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka sejak pelaksanaan pendaftaran secara automatik pengundi 18 tahun pada 1 Jan lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee berkata dengan pendaftaran tersebut, pengundi-pengundi baharu berkenaan akan merasai pengalaman mengundi buat pertama kali pada pilihan raya umum akan datang.
“Jumlah ini agak besar… Oleh itu, pengundi-pengundi muda ini akan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan Sarawak dan negara.
“Jangan salah guna kuasa dan hak yang ada kerana ia bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada mereka sendiri malah rakyat Sarawak secara keseluruhannya. Sebaliknya gunakannya dengan sebaik mungkin untuk menentukan hala tuju dan masa depan Sarawak terjamin,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Projek SUARA Networking di sini, malam tadi.
Projek SUARA merupakan kerjasama antara Pejabat Ketua Menteri (CMO) Sarawak, Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) serta Owl&Badger Group Sdn Bhd bertujuan memahami kepentingan dan potensi belia bagi menyertai wacana pembangunan di Sarawak.
Terdahulu, Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak menggesa golongan muda di negeri ini supaya berani tampil menyuarakan idea-idea baharu dan bernas untuk membantu kerajaan negeri membangunkan Sarawak menjadi negeri paling maju di Malaysia menjelang 2030.
Beliau berkata kerajaan yang memerintah Sarawak kini merupakan sebuah kerajaan yang sentiasa bersedia mendengar lontaran idea-idea baharu dan bernas daripada golongan muda.
“Golongan muda di Sarawak memang banyak idea baharu, banyak perkara boleh dikongsi tetapi lebih penting sekali berani tampil menyuarakannya kepada kerajaan. Kalau anda mempunyai idea-idea baharu, suarakan sahaja. Kita di Sarawak memerlukan ramai golongan muda yang memiliki kriteria seperti ini.
“Saya adalah seorang pendengar yang baik dan kerajaan memerintah sekarang juga pendengar yang baik,” katanya. – TVS