SARIKEI, 19 Feb : Sokongan padu Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei bukan sahaja membolehkan Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) berjalan lancar tetapi juga mendapat sambutan hangat.
Pegawai Kesihatan Bahagian, Dr Emmanuel Joseph Fong Tsung, berkata program bermula di Hospital Sarikei pada 11 Februari lalu sebelum ia diperluaskan ke klinik kesihatan utama, termasuk Bintangor, Pakan dan Julau.
“Setakat 16 Februari, seramai 2,148 kanak-kanak berjaya mendapat suntikan vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech. Kita gembira dengan sambutan yang diberikan,” beliau menyebut satu kenyataan.
Beliau berkata, PICKids amat penting bagi menjamin liputan vaksin yang tinggi di samping memastikan kelancaran peralihan ke fasa endemik.
Sehubungan itu, katanya, ibu bapa perlu mendaftar dalam PICKids bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 untuk membolehkan anak-anak mereka meneruskan aktiviti harian dan persekolahan seperti biasa.
Pada masa yang sama mereka juga disarankan untuk menghadiri janji temu mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelak kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Bagi mereka yang tidak bersekolah atau di luar kawasan atau jauh dari PPV yang ditetapkan, ibu bapa boleh hantar SMS atau WhatsApp ke Sarikei COVID-19 Vaccine Hotline 019-834 1079 untuk mendapatkan janji temu yang baharu.
“Ibu bapa penjaga amat digalakkan untuk mendaftar anak mereka agar mereka dapat dilindungi daripada komplikasi jangkitan, seperti Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) dan kesan sampingan COVID-19,” jelasnya. – TVS