KUCHING, 17 Feb : Pelaksanaan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat bagi rentas sempadan antara Malaysia dan Brunei akan membantu dalam pemulihan industri pelancongan Sarawak, menurut Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
Ketua Pegawai Eksekutif STB , Sharzede Salleh berkata , keputusan itu akan memudahkan pergerakan rentas sempadan di bahagian utara negeri itu yang berhampiran dengan Brunei.
“Kami yakin pembukaan semula sempadan Brunei akan memberi manfaat kepada kami, kerana sempadan Miri, Limbang dan Lawas adalah yang paling hampir dengan Brunei dan Sarawak sentiasa menjadi negeri yang menarik pelancong dari Brunei dan seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata pengumuman VTL Malaysia-Brunei, yang dibuat selepas pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Sultan Brunei Hassanal Bolkiah awal minggu ini akan memberi manfaat terhadap rancangan Scoot Tigerair untuk memulakan penerbangan terus dari Singapura ke Miri mulai 22 Feb ini.
“Pembukaan laluan baharu antara Singapura dan Miri ini mengukuhkan keyakinan syarikat penerbangan itu di Sarawak sebagai destinasi pelaburan, memandangkan kestabilan dan potensi pertumbuhan negeri itu,” katanya.
Sharzede berkata 2022 menjadi tahun yang berdaya tahan, kebangkitan dan pertumbuhan untuk industri pelancongan, dan STB akan terus memberi tumpuan untuk membina dan mencipta cara baharu menjalankan perniagaan melangkaui pandemik COVID-19.
“Gabungan unik budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan (CANFF) kami akan kekal sebagai penggerak kami, dan kami kekal komited untuk mencipta pengalaman bermakna untuk pengembara di samping menerajui inisiatif pelancongan yang bertanggungjawab,” katanya. – TVS