KUCHING, 17 Feb : Dua jalan utama di pusat bandar iaitu Jalan Main Bazaar dan Jalan Gambier akan ditutup sempena Citrawarna Keluarga Malaysia yang bermula 24 hingga 27 Februari ini di Waterfront.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, sepanjang program berkenaan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik , Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan melakukan kawalan lalu lintas di lokasi penganjuran sekaligus melaksanakan penutupan dan lencongan sementara.
” Ini dilakukan bagi tujuan pemasangan khemah oleh penganjur bermula 17 hingga 25 Februari.
“Orang awam yang menghadiri majlis dinasihatkan meletakkan kenderaan di sepanjang kiri Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid, tempat letak kereta Poliklinik Jalan Masjid, tempat letak kereta Jalan Khoo Hun Yeang, bangunan Saujana dan Reservior Park,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Ahsmon berkata, penutup jalan sepenuhnya dan lencongan di sekitar lokasi penganjuran program itu akan bermula pada 6.30 pagi, 26 Februari hingga majlis selesai keesokan harinya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka akan hadir pada program berkenaan. -TVS