SIBU, 16 Feb : Masalah hutang dipercayai menjadi motif utama pembunuhan kejam membabitkan dua wanita yang mayat mereka ditemui terapung di Sungai Samong, Daro pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Matu Daro Deputi Superintendan Neil Beginda berkata punca kes bunuh di Daro dipercayai ada hubung kait dengan ‘masalah hutang.
Demikian jawapan ringkas yang diberikan ketika diminta mengulas mengenai kes bunuh yang disiasat mengikut Sekysen 302 Kanun Keseksaan tersebut.
“Setakat ini pihak polis tidak boleh mendedahkan terlalu banyak maklumat kepada media mengenai kes bunuh itu kerana bimbang ianya akan menggangu proses siasatan,” katanya ketika dihubung TVS hari ini.
Ujarnya lagi, polis kini sedang giat menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai sudut.
Katanya, Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching juga telah dimaklumkan mengenai kes tersebut yang melibatkan dua wanita warga Indonesia terbabit.
Pada jam 3.30 petang 12 Februari lalu, seorang suspek lelaki berusia 31 tahun yang berbangsa Bajau telah ditahan reman sehingga 20 Februari bagi membanti siasatan lanjut kes.
Kes bunuh tersebut melibatkan tiga wanita warga Indonesia berusia antara 41 hingga 47 tahun manakala seorang daripada mereka dijumpai terselamat dan keadaannya dilaporkan stabil tetapi masih trauma.
Dua daripada mangsa dipercayai telah dipukul dan dibunuh di lokasi berasingan sebelum dicampak ke dalam sungai di tempat kejadian.
Mayat wanita pertama ditemui terapung oleh orang awam pada 12 Februari du Sungai Samong, Daro manakala mayat kedua ditemui dua hari kemudian di sungai yang sama.
Neil berkata, bedah siasat ke atas dua mayat tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Neil menasihati orang ramai untuk memadam dan menghentikan penyebaran sebarang video atau gambar berkaitan dengan kes tersebut kerana ia mengganggu siasatan polis dan juga bagi menghormati perasaan keluarga mangsa.-TVS