KUCHING, 15 Feb: Majoriti kawasan di Sarawak terutamanya di barat dan tengah diramal akan dilanda hujan dan ribut petir bermula esok sehingga 22 Februari.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca signifikan tersebut adalah berpunca daripada angin timuran dan tenggara yang bertiup di rantau negara dengan kelajuan 10 hingga 40 kilometer sejam (kmsj) dalam tempoh ramalan.
Selain itu, MetMalaysia turut menjangkakan negeri–negeri di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah juga akan terkesan dengan angin timuran dan tenggara tersebut.
“Pada sebelah pagi, hujan dijangka berlaku di kawasan pantai negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.
“Manakala hujan dan ribut petir dijangka berlaku di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah pada sebelah petang hingga awal malam, ” jelas kenyataan berkenaan. – TVS