KUCHING, 14 Feb : Pembentangan Rang Undang – Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) esok yang dijangka akan menyebabkan ‘perubahan’ membabitkan gelaran Ketua Menteri Sarawak dilakukan mengikut perspektif yang betul ketika pembentukan Malaysia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sehubungan itu pindaan untuk menggantikan gelaran Ketua Menteri kepada ‘Premier’ juga akan memberi lebih autonomi kepada Sarawak kerana perkara itu sudah diperjuangkan sejak sekian lama.
” Bagi jawatan Ketua Menteri, sudah tentu kita tidak mahu ia sama taraf dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Melaka kerana ketika Malaysia ditubuhkan, penandatangan bagi negeri-negeri Melayu (di Semenanjung) …hanya ada seorang yang mewakili mereka,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak pada Persidangan Hari Pertama, Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang bermula hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, Sarawak telah lama berjuang untuk mendapatkan kembali haknya dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ya, inilah yang kita nantikan. Inilah sebabnya kami sanggup pergi ke London untuk mengkaji Laporan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan), MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), dan sebagainya.
“Kami tahu bahawa terdapat beberapa hak yang telah terhakis, jadi ini adalah sebahagian daripada perkara kecil yang kami cuba dapatkan kembali secara perlahan-lahan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, ketika ditanya tentang terjemahan sebenar bagi perkataan Premier yang bakal digunakan untuk menggantikan gelaran Ketua Menteri, Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, beliau berharap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat tampil memberikan ‘perkataan’ yang sebenar.
Berhubung pindaan sama yang dijangka akan menyebabkan pertukaran gelaran Menteri Muda kepada Timbalan Menteri sekiranya diluluskan di DUN, Abdul Karim berkata, ia tidak membabitkan perubahan signifikan sebaliknya sekadar untuk melancarkan urusan pentadbiran.-TVS