KUALA LUMPUR, 14 Feb : Pelabur asing menjadi pembeli bersih untuk minggu berakhir 11 Feb dengan mencatatkan aliran masuk bersih RM749.34 juta berbanding aliran keluar bersih RM160.70 juta pada minggu sebelumnya, dipengaruhi oleh data ekonomi Malaysia yang optimis, kata MIDF Research.
Menurut firma pembrokeran itu, data-data itu termasuk Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP), yang menyederhana kepada +5.8 peratus tahun ke tahun pada Disember 2021, pertumbuhan jualan perdagangan pengedaran Malaysia pada +3.5 peratus tahun ke tahun pada Disember 2021 dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang melonjak sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021.
“Setakat tahun 2022 ini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia selama empat daripada enam minggu.
“Kami mendapati bahawa pembelian bersih minggu lepas oleh pelabur asing juga merupakan yang tertinggi setakat tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
MIDF Research berkata pembelian bersih tertinggi sebelum ini oleh pelabur asing adalah pada minggu kedua Januari, mencatatkan sejumlah RM397.85 juta.
Sementara itu, ia menambah pelabur asing adalah pembeli bersih setiap hari pada minggu urus niaga berkenaan, dengan kali terakhir ini dilihat pada minggu yang berakhir pada 14 Jan, 2021.
Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Rabu sebanyak RM279.64 juta dan aliran masuk paling sedikit ialah pada hari Isnin dengan hanya RM21.82 juta direkodkan. -TVS