KUALA LUMPUR, 14 Feb : Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang dengan mencatatkan peningkatan semula sebanyak tiga mata peratusan kepada 6.1 peratus tahun ke tahun pada 2022.
Menurut Public Investment Bank Bhd, unjuran itu akan dipacu oleh keadaan luaran yang menggalakkan, dengan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya oleh ekonomi utama memberikan rangsangan tambahan kepada momentum pertumbuhan.
Trajektori pertumbuhan juga akan didorong oleh impak lambat daripada perbelanjaan rangsangan fiskal yang besar, disokong oleh persekitaran kadar faedah yang masih akomodatif, jelasnya menerusi nota penyelidikan pada Isnin.
Bank pelaburan itu menambah, dorongan kuat juga diperoleh daripada keputusan berani untuk membuka semula sepenuhnya sempadan antarabangsa, yang akan menjadi faktor penting dalam usaha merancakkan kembali sektor pelancongan yang telah menanggung beban akibat krisis kesihatan sejak dua tahun lepas.
Bagaimanapun, unjuran itu boleh diganggu oleh kemunculan varian COVID-19 yang lebih mudah berjangkit dan mengakibatkan kehilangan produktiviti dan output.
“Cabaran yang berterusan dalam sektor pembuatan seperti kekurangan bahan mentah dan buruh juga boleh menjejaskan pengeluaran,” menurut bank pelaburan itu.
Ia menjelaskan prospek ekonomi dijangka bertambah cerah memandangkan pengurusan ke atas COVID-19 yang lebih baik dan liputan vaksinasi melebihi 90 peratus daripada populasi dewasa.
Mengenai dasar monetari, Public Investment Bank menjangkakan normalisasi kadar faedah yang menjadi penanda aras hanya boleh disaksikan pada separuh kedua 2022, dengan kadar dasar semalaman (OPR) kemungkinan dilaraskan sebanyak 50 mata asas kepada 2.25 peratus.-TVS