ISKANDAR PUTERI, 14 Feb : Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akur sekiranya dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan (KKM) jika beliau didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 pada Majlis Pelancaran Briged MIC hari ini.
Beliau berkata penganjuran program parti politik seumpama itu sentiasa menjadi kebimbangan berikutan dilihat sukar untuk dikawal.
“Kalau langgar SOP kena bayar kompaun, benda itu menjadi kebimbangan apabila kita buat sesuatu program-program politik susah untuk dikawal. Jadi kalau tidak boleh dikawal dan melanggar SOP, terpaksa berhadapan kompaun,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis itu yang berlangsung di Stadium Educity, di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitter rasminya memaklumkan beliau telah mengarahkan pegawai KKM untuk mengeluarkan kompaun kepada penganjur majlis berkenaan serta beberapa pemimpin kanan parti politik kerana melanggar SOP COVID-19.
“Bagi diri saya kalau ada kesalahan, hendak ambil tindakan… saya mengalu- alukan… salah tetap salah,” kata Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong dan Menteri Kanan Pertahanan. -TVS