KUCHING, 14 Feb : Perang bakal tercetus di Eropah Timur sekiranya maklumat perisikan Britian dan Amerika Syarikat berhubung serangan yang didakwa akan mula dilancarkan oleh Rusia ke atas Ukraine pada Rabu ini tepat.
Menurut laporan BBC yang memetik sumber perisikan, Moscow telah menempatkan hampir 130 000 anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine untuk memulakan serangan sebagai tindak balas Kiev yang berusaha mengukuhkan pertahanannya apabila ‘bekerjasama’ dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Semalam, dua negara kuasa veto, Amerika Syarikat dan Britian mengulangi nasihat kepada rakyat mereka yang berada di Ukraine supaya segera meninggalkan negara itu.
Selain itu, maklumat risikan mendedahkan barisan tentera Rusia juga turut dilengkapi dengan artileri, kereta kebal serta pesawat tempur.
Pelan serangan membabitkan laluan yang akan digunakan untuk menyerang Ukraine juga telah dimuktamadkan dan hanya menunggu masa untuk ‘menggempur’ jirannya.
Sementara itu, Rusia menafikan laporan – laporan berkenaan setakat ini.
Perkembangan terkini di Ukraine pula menyaksikan Menteri Luarnya, Dmytro Kulera memohon diadakan satu mesyuarat tergempar dengan Rusia dan beberapa negara Eropah lain untuk membincangkan situasi genting di sempadan kedua – dua negara berkenaan.
Kulera berkata, Rusia sebelum ini menolak permintaan rasmi Ukraine untuk memberi penjelasan berhubung tindakan negara itu menambah kehadiran anggota tenteranya di sempadan.-TVS