AMPANG, 13 Feb : Seorang wanita warga Afrika ditemui mati di kawasan parkir kereta di hadapan deretan kedai di Jalan Memanda 2, dekat sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya , Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, ketika pasukan polis tiba di tempat kejadian, mangsa didapati berada dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.
Katanya, wanita itu yang memakai seluar jeans berwarna biru kemudian disahkan meninggal dunia oleh kaki tangan perubatan dari Hospital Ampang.
“Pada mulanya polis menerima maklumat awam mengatakan wanita itu tercedera selepas menjadi mangsa ragut.
“Bagaimanapun berdasarkan keterangan saksi awam, kecederaan yang dialami mangsa didakwa berpunca daripada terlibat dalam satu pergaduhan,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Katanya, polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -TVS