KUCHING, 13 Feb : Perkembangan COVID-19 di Sarawak hari ini menyaksikan satu kluster baharu dikesan sekaligus menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan melebihi 200 kes di negeri ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Kluster Jalan Kolej Kuching melibatkan pelatih dan kontak sosial di sebuah asrama, institut pengajian awam yang terletak di Jalan Kolej, Kuching, Sarawak.
” Kluster ini dikesan apabila seramai empat orang pelatih telah menjalani saringan COVID-19 kerana mengalami tanda-tanda dan gejala di sebuah fasiliti kesihatan pada 7 Februari 2022.
Indeks-indeks kes ini juga mempunyai sejarah pulang dari negeri masing-masing di Semenanjung Malaysia kerana bercuti dan kembali semula ke institusi pada 5 Februari 2022,” jelas JBPN.
Setakat ini, 52 orang telah disaring dengan 26 orang didapati positif manakala 26 lagi negatif .
Sementara itu, Sarawak merekodkan sebanyak 201 kes baharu bagi tempoh 24 jam lepas dengan sebahagian besar diklasifikasikan sebagai kategori satu dan dua sahaja. -TVS