KUCHING, 12 Feb : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap agar ibu bapa di negeri ini membenarkan anak mereka diberikan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak -kanak (PICKids) yang sedang berlangsung.
Abang Johari berkata, ini kerana mereka perlu meletakkan faktor keselamatan anak masing – masing sebagai keutamaan ketika ancaman COVID-19 masih berlarutan.
Katanya, kemunculan varian baharu Omicron menyebabkan wujud keperluan untuk menguatkan antibodi dan kanak – kanak juga wajar dilindungi.
” Terdapat ibu bapa yang masih ragu, saya harap mereka dapat membenarkan anak disuntik walaupun varian baharu tidak begitu teruk, namun kita mahu menurunkan jumlah kes jangkitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Kota Sentosa di sini hari ini.
PPV berkenaan dijangka akan memberikan suntikan kepada 308 orang murid – murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Stampin dan SJKC Chung Hua Pangkalan Baharu.
Yang turut hadir, dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, Sarawak telah berjaya memberikan vaksinasi kepada 19,430 kanak-kanak, iaitu 6.8% daripada 286,000 jumlah kanak-kanak yang layak divaksin.
” Ini akan membolehkan sistem persekolahan berjalan seperti biasa dan tidak terganggu,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, Sarawak menyasarkan sebanyak 50 peratus kanak – kanak yang layak divaksin menerusi PICKids akan menerima suntikan masing – masing menjelang hujung bulan ini.
Ketika ditanya berkenaan pemberian vaksin kepada kanak-kanak di kawasan luar bandar, beliau berkata , kerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan akan diadakan bagi melancarkan program berkenaan.
“Pendekatan yang digunakan adalah sama seperti program pemberian vaksin COVID-19 terhadap orang dewasa dan remaja.
“Berhubung sekolah di pedalaman, kerajaan negeri akan membantu aspek logistik seperti menyediakan helikopter dan pengangkutan lain untuk bawa doktor dan petugas kesihatan. Jangan bimbang, bekalan vaksin mencukupi,” ujarnya. -TVS