Kredit gambar Agensi Anadolu
ANKARA, 12 Feb : Perancis pada Jumaat mengumumkan ia menarik balik keperluan ujian coronavirus untuk pengembara yang sudah divaksin, lapor Agensi Anadolu.
Bukti vaksinasi adalah mencukupi untuk ketibaan ke Perancis seperti yang dilaksanakan sebelum penularan varian Omicron, kata kerajaan dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menyebut, bagi pengembara yang tidak divaksin, keperluan mengemukakan ujian negatif untuk perjalanan ke Perancis masih kekal tetapi langkah-langkah semasa ketibaan, termasuk ujian dan kuarantin, ditamatkan untuk penumpang dari negara dalam senarai “hijau”, iaitu negara dengan penularan sederhana virus.
Sementara bagi pengembara tidak divaksin yang datang dari negara dalam senarai “oren”, mereka perlu mengemukakan alasan yang kukuh keperluan untuk datang ke Perancis dan masih tertakluk kepada ujian rawak semasa ketibaan, tambah kenyataan itu.
Kerajaan pada awal Jumaat mengumumkan mereka yang mempunyai bukti vaksinasi yang sah tidak lagi perlu memakai pelitup muka di ruangan tertutup, kecuali di dalam kereta api dan pesawat mulai 28 Feb. -TVS