KUCHING, 12 Feb : Mesyuarat Pertama bagi Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke -19 akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 Februari ini.
Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, mesyuarat berkenaan kali ini tidak diadakan upacara perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Ujar Mohamad Asfia, upacara perasmian oleh Yang di- Pertua Negeri Sarawak akan berlangsung pada satu tarikh yang ditetapkan kerajaan negeri kelak.
“Persidangan kali ini akan dimulakan dengan upacara angkat sumpah oleh 82 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari pertama.
Kesemua wakil rakyat yang dipilih dijemput hadir bersama pasangan masing – masing,” katanya pada sidang media hari ini.
Katanya, persidangan itu diadakan bagi memenuhi keperluan seperti yang termaktub dalam Artikel 21(4) , Perlembagaan Negeri Sarawak yang mana DUN yang baharu hendaklah dipanggil untuk bermesyuarat pada tarikh tidak lewat daripada 120 hari selepas tarikh pembubaran. -TVS