KOTA KINABALU, 11 Feb : Pasukan Sarawak United FC tiba di bandar raya ini petang tadi untuk mengibarkan cabaran Bumi Kenyalang dalam Piala Sabah Maju Jaya (SMJ).
Skuad kendalian E. Elavarasan yang kembali ke Liga Super musim ini akan menguji tiga pasukan lain termasuk tuan rumah Sabah FC serta dua pasukan yang berpengkalan di Semenanjung iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kelantan FC.
Sarawak United FC akan memulakan kempen dalam kejohanan ini menentang KDA FC di Stadium Likas, pukul 4.15 petang esok.
Sebaik tiba, barisan pemain dan kejurulatihan terus dibawa ke pusat penginapan pasukan dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19.
Pasukan Sarawak United FC merupakan pasukan ketiga yang tiba di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas Kedah dan Kelantan.
Mengikut SOP ditetapkan, kesemua pasukan yang menyertai kejohanan ini perlu menjalani ujian ujian COVID-19 sebelum perlawanan kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) bermula. -TVS