KUCHING, 11 Feb : Sarawak merekodkan peratusan tertinggi pengambilan vaksin dos penggalak iaitu mencapai 76.8 peratus di kalangan populasi dewasanya berbanding negeri – negeri lain setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, angka itu sekaligus mengatasi kadar di Lembah Klang yang berada di tempat ketiga dengan capaian 66.9 peratus.
Melaka pula menjadi negeri kedua populasi dewasanya sudah menerima suntikan penggalak iaitu pada kadar 71.9 peratus.
“ Negeri Sembilan dan Pulau Pinang turut berada dalam lima negeri tertinggi rakyat dewasanya telah mengambil dos penggalak iaitu masing masing 62.5 peratus dan 57.1 peratus,” katanya.
Tiga negeri terendah ketika ini ialah Perlis (30.9 peratus), Kelantan (25.3 peratus) dan Sabah dengan 24.8 peratus.
Sementara itu, kaum Cina didapati tertinggi dari segi kaum apabila sebanyak 81.3 peratus telah mendapatkan suntikan penggalak masing – masing diikuti kaum India sebanyak 56.4 peratus.
Ini diikuti oleh masyarakat Orang Asli sebanyak 49.6 peratus.
“ Kaum Melayu pula paling rendah iaitu pada kadar 47.9 peratus manakala kaum lain sebanyak 50.6 peratus,” katanya.
Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 6 Februari lalu mendedahkan, seramai 1, 451 589 individu di Sarawak telah menerima suntikan dos penggalak masing – masing. -TVS