KUCHING, 11 Feb : Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia mengesahkan kejadian ular yang dikesan dalam salah satu pesawatnya yang sedang melakukan penerbangan semalam.
Ketua Pegawai Keselamatannya , Liong Tien Ling berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam pesawat yang sedang ke Tawau, Sabah dari Kuala Lumpur.
Ujarnya, kejadian berkenaan sangat jarang berlaku dan boleh berlaku kepada mana – mana penerbangan.
“Sebaik sahaja juruterbang dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia membuat keputusan melencongkan pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebagai langkah berjaga-jaga bagi menangkap ular itu dan mengasap pesawat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Video kejadian berkenaan yang dimuat naik seorang pemilik akaun TikTok tular dan mencetuskan pelbagai persoalan di kalangan pengguna media sosial.
Ada yang mempersoalkan tentang tahap keselamatan dan pemeriksaan pesawat sebelum berlepas malah ada yang mengimbau filem Snakes on a Plane yang menceritakan tentang ‘pencerobahan’ ular dalam pesawat.
Jurucakap LTAK ketika dihubungi TVS turut mengesahkan kejadian dan memaklumkan pesawat itu membuat pendaratan cemas kira – kira pukul 7.20 malam semalam. -TVS