KUCHING, 10 Feb : Kementerian Kesihatan (KKM) memuji usaha Sarawak yang segera melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kanak – Kanak (PICKids) tanpa memberi pelbagai alasan.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, beliau juga kagum dengan perlaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan PICK Remaja di sini yang berjalan lancar.
” Saya sangat teruja dengan perlaksanaan program vaksinasi di Sarawak kerana mereka (Sarawak) tidak banyak alasan dan terus memikirkan apa yang perlu dilakukan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan PICKids di Klinik Kesihatan Batu Kawa, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Azmi berkata, apa yang dilakukan Sarawak berhubung soal melindungi rakyatnya daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19 seharusnya menjadi contoh kepada negeri – negeri lain.
Sarawak memulakan program vaksinasi untuk kanak – kanak pada 3 Februari lalu berbanding 5 Februari yang mula dilaksanakan di peringkat kebangsaan.
Setakat ini , seramai 18,301 orang atau 4.1 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Sarawak telah mendapat dos pertama vaksin COVID-19 setakat semalam dan menyumbang kepada 40 peratus jumlah keseluruhan kanak-kanak di negara ini yang telah mendapatkan suntikan dos pertama mereka kata Dr. Noor Azmi.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, Pusat Pemberian vaksin (PPV) sekolah di seluruh negara bakal dilancarkan selewat-lewatnya 14 Februari depan di bawah program PICKids.
“Sekarang sekolah sudah dibuka dan seramai dua juta pelajar menghadirinya, termasuk Tahun 1, Tahun 2, Tahun 5 dan Tahun 6 tanpa penggiliran.
“Kalau kita sudah selesaikan dos vaksinasi pertama, dalam tempoh dua minggu kemudian kita sudah boleh selesaikan dos kedua pula,” katanya. -TVS