KUCHING, 10 Feb : Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) menaruh harapan agar Pelan Strategik 2022 yang dibentangkan akan dapat meneruskan kecemerlangan sukan yang telah diraih oleh negeri ini.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelan berkenaan juga dapat menyediakan pelan jangka panjang untuk memacu pembangunan sukan ke arah bertaraf global.
” Pelan strategik ini akan turut memainkan peranan bagi melahirkan belia yang berdaya saing, kompetetif dan mempunyai keperibadian holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Pembentangan Pelan Startegik MYSED 2022 – 2026 di sini hari ini.
Pada masa sama, Abdul Karim berkata, kementeriannya akan turut memfokuskan pembudayaan sukan sebagai aktiviti harian rakyat Sarawak , sejajar dengan penganjuran program Sarawak X-TIVE pada March depan.
“Program Sarawak X-Tive ini akan dilancarkan oleh Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ini adalah aspirasi bagi melahirkan atlit bertaraf antarabangsa sejajar dengan slogan Sarawak As A Sport Powerhouse,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, kementerian juga mahu memberi fokus dalam pembangunan usahawan di kalangan belia.
“Ini seterusnya akan membolehkan mereka berdaya saing, membuka ruang dan peluang kepada perkembangan perniagaan,” katanya.
Bagi tujuan itu Abdul Karim memberitahu, kementerian akan memperkukuhkan sistem sokongan dan rangkaian bagi melonjakkan pembangunan ekonomi digital Sarawak. -TVS