Kredit gambar : UKAS
TATAU, 10 Feb : Seramai 420 kanak – kanak di Bintulu setakat semalam telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) yang sedang berlangsung.
Pegawai Kesihatan Bahagian, Dr. Melvin Chung Hsien Liang berkata, berdasarkan pemerhatian, setakat ini kesemua kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kesan sampingan dan dibenarkan pulang bersama ibu – bapa masing – masing.
Katanya, semalam Pasukan Vaksinasi Bergerak Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dan Klinik Kesihatan Tatau telah berjaya menyuntik vaksin kepada 400 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tatau yang berumur di antara 7 hingga 11 tahun.
“Mereka telah menerima suntikan vaksin Comirnaty (Pfizer) dos kanak-kanak dengan kadar satu per tiga daripada dos remaja dan dewasa iaitu sebanyak 10 mikrogram sahaja,”katanya.
Beliau memberitahu, PICKids Bahagian Bintulu akan diteruskan di SK Sebauh pada hari ini dan diikuti SK Kidurong, SK Syakirin, SK Sg Kem Batu 18 dan SK Kampung Jepak. -TVS