KUCHING, 9 Feb : Orang ramai tidak lagi perlu mengimbas suhu sebelum memasuki mana-mana premis mulai Jumaat ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, namun begitu daftar masuk premis menggunakan imbasan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa.
“Mesyuarat Kuartet hari ini menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod check in akan dimansuhkan bermula 11 Februari,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur semalam.
Berikutan pemansuhan ini, tambahnya, pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod daftar masuk di pintu-pintu masuk premis masing-masing.
Namun begitu, katanya, sekiranya pemilik-pemilik premis masih ingin meneruskan pelaksanaan SOP pemeriksaan suhu dan buku rekod daftar masuk ini, kerajaan mengalu-alukan dan menggalakkannya. – TVS