KUCHING, 9 Feb : Sarawak United FC (SUFC) menafikan laporan sebuah stesen televisyen semalam yang mengatakan kelab itu ‘menjanjikan’ kontrak musim ini kepada pemain import Brazil, Sandro Da Silva.
Bertambah pelik, SUFC berkata, Sandro sendiri tidak pernah menyatakan perkara berkenaan.
Ujar SUFC, ‘cerita sebenar’ di sebalik kemelut itu ialah mereka menawarkan kontrak musim 2022 kepada pemain itu pada 2 Disember lepas namun ditolak melalui aplikasi WhatApps pada hari yang sama.
“ Pada 6 Disember, pihak Sandro telah mengemukakan tawaran balas kepada SUFC dan menyatakan gaji baharu yang inginkan oleh beliau.
“Seterusnya surat berkenaan menjelaskan bahawa SUFC perlu menyatakan minat secara bertulis dalam tempoh tujuh hari dari tarikh tersebut dan jika tidak, kelab dianggap tidak berminat terhadap tawaran balas berkenaan,” jelas SUFC menerusi kenyataan media.
Penjelasan SUFC hadir selepas rancangan terbitan saluran berkenaan dan portalnya menyiarkan laporan Sandro da Silva yang dijanjikan sekeping kontrak dan tiba di Malaysia pada 22 Januari lepas untuk menyambung kesepakatan dengan SUFC menerima perkhabaran buruk apabila namanya tiada dalam perancangan pasukan atas keputusan Ketua Jurulatih, E. Elavarasan.
Laporan itu yang turut tular di media sosial menyebabkan SUFC ‘dikecam’ oleh peminat bola sepak negara kerana disifatkan bertindak secara tidak profesional.
Kenyataan media SUFC seterusnya menjelaskan, selepas tamat tempoh tujuh hari, tiada sebarang maklum balas rasmi daripada kedua -dua pihak dan mereka telah menyerahkan kepada Elavarasan berhubung soal pemilihan pemain baharu.
“SUFC ingin menegaskan tidak ada campur tangan dalam pemilihan pemain melainkan soal gaji bagi pemain yang dipilih oleh jurulatih,” jelas kenyataan itu.
Pada masa sama, pasukan bola sepak itu juga menjelaskan mereka tidak pernah menjemput atau ‘mengatur’ kehadiran pemain itu Malaysia malah tidak pernah menghalang Sandro ingin ke negara ini atas urusan peribadi.
“SUFC berharap perkara ini tidak berlanjutan yang dibimbangi akan menjejaskan persiapan pasukan.
SUFC juga ingin berterima kasih kepada Sandro di atas sumpangan beliau kepada pasukan sepanjang musim lepas dan ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam kariernya,” kata kenyataan itu. -TVS