KUCHING, 9 Feb: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) secara maya dengan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dan WWF-Malaysia untuk menerbitkan buku pendidikan alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal bagi sekolah rendah.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengawal Kualiti Alam Sekitar NREB Peggy Ronin Edin berkata buku itu yang pertama seumpamanya diterbitkan di negeri ini akan memberi tumpuan kepada usaha mendidik generasi muda mengenai pengetahuan asas, amalan terbaik dalam pengurusan sisa pepejal serta kelestarian alam sekitar.
“Isu alam sekitar seperti pencemaran udara dan air, ribut teruk dan keadaan cuaca melampau akibat perubahan iklim, kehabisan sumber dan cabaran lain yang serupa berpotensi bertukar menjadi mimpi ngeri ekologi bagi kita,” katanya.
Beliau berkata MoA tersebut menandakan kerjasama strategik antara ketiga-tiga pihak untuk bekerjasama ke arah menambah baik situasi alam sekitar semasa melalui pendidikan dan mendekati generasi muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens Stephen Chin berkata buku itu akan menyediakan sumber pendidikan dan rangka kerja khusus untuk menangani isu pengurusan sisa pepejal dengan membentuk pemikiran dan tingkah laku masyarakat dengan mendidik mereka mengenai perkara itu dari usia muda.
Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia Dr Henry Chan berkata penerbitan buku itu tepat pada masanya dan akan melengkapkan sumber pendidikan alam sekitar sedia ada di negara ini.
Kira-kira 500 buku yang akan diterbitkan itu dijangka diedarkan dan digunakan oleh ahli Kelab Pencinta Alam Sekitar (Kelab PALS) di seluruh Sarawak. – TVS