SINGAPURA, 8 Feb : Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen berkongsi pengalaman peribadinya melawan COVID-19, dengan menyatakan jika beliau dijangkiti strain asal dua tahun lalu, tanpa sebarang perlindungan dan vaksin, sudah tentu beliau berasa sangat bimbang.
“Bahkan enam bulan lalu, varian Delta boleh menyebabkan penyakit yang lebih serius tanpa suntikan penggalak.
Bagaimanapun, vaksin dan penggalak yang diambilnya telah mengubah penyakit yang berpotensi mengancam nyawa kepada penyakit yang kurang berbahaya berbanding sebelumnya.
“Hari-hari yang dilalui sebagai pesakit COVID-19 sangat menarik. Berkongsi pengalaman saya, dengan mengambil maklum bahawa tindak balas individu adalah berbeza,” tulis beliau di laman Facebooknya pada Isnin, memperincikan pengalaman lima harinya, dengan panjang lebar.
Dr Ng menyatakan “adalah sukar untuk mengelak varian Omicron yang sangat mudah berjangkit sehingga menyebabkan gelombang terbesar sejak virus itu dikesan di Singapura, melainkan seseorang itu hidup terasing.
“Pengambilan dua suntikan vaksin serta dos penggalak, memberi jaminan penyakit yang serius boleh dielakkan,” katanya.
Dalam catatannya, Dr Ng, 63, turut memuatnaik dua gambar beliau menghadiri mesyuarat dengan rakan-rakan Jawatankuasa Parlimen Kerajaan (Pertahanan dan Hal Ehwal Luar) hari ini melalui sidang video, dan ujian pantas antigen (ART) yang dilakukannya. -TVS