SRI AMAN, 8 Feb: Seorang pekerja kapal dikhuatiri lemas dan dilaporkan hilang selepas terjatuh dari kapal ke dalam Sungai Lingga.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan, John Bingkok berkata, mangsa Thein Wai Maung, 35, merupakan seorang tukang kimpal warganegara Myammar yang dipercayai lemas selepas terjatuh di depan mata seorang rakan dari atas kapal Ketara Teknik 10 pada jam 10.50 tadi.
“Pihak polis yang menerima maklumat susulan laporan polis dibuat oleh penyelia kapal tersebut pada jam 12.02 tengahari memaklumkan mangsa terjatuh dari kapal pada pagi tadi,” katanya ketika dihubung TVS hari ini.
Katanya lagi, seorang pekerja yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana arus sungai sangat deras ketika itu.
Semasa kejadian, hanya tiga orang pekerja menjalankan kerja pembinaan diatas kapal tersebut.
“Seorang saksi memberitahu mangsa tergelincir sebelum terjatuh semasa cuba menyelenggara saluran paip yang tersangkut di mesin piling iaitu cerucuk di atas kapal tersebut
“Bertindak daripada maklumat, satu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah ditubuhkan dan disertai oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sri Aman dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman,” ujarnya.
Bingkok berkata, setakat jam 4 petang tadi, mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan atas faktor keselamatan.
Operasi pencarian akan disambung semula pada pagi esok.
Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan kes Orang Hilang (OH). – TVS