PUTRAJAYA, 8 Feb: Penerima vaksin dos primer Sinovac boleh menerima jenama vaksin yang sama sebagai dos penggalak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Katanya, ia berikutan keengganan segelintir penerima vaksin Sinovac menerima suntikan dos campuran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.
“Walaupun KKM (Kementerian Kesihatan) masih berpandangan bahawa kita lebih galakkan mereka terima Pfizer atau AstraZeneca, tetapi mana-mana dos penggalak lebih baik daripada tiada dos penggalak langsung,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19.
Sebagai analoginya, beliau berkata KKM menyarankan individu mengembara ke tempat musim sejuk dan memberi kot percuma tetapi mereka enggan menerimanya dan hanya memakai kemeja-T sahaja.
“Okaylah, kemeja-T itu lebih baik daripada mereka tidak pakai apa-apa, jadi kita akan beri mereka pilihan,” katanya menambah bahawa sehingga kini terdapat 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac masih belum mendapat (dos) penggalak mereka lagi dan KKM akan mengeluarkan janji temu bagi dos penggalak,” katanya.
Menurut Khairy lagi, sijil vaksinasi penerima dos primer Sinovac dalam aplikasi MySejahtera juga akan bertukar menjadi putih sekiranya individu berkenaan tidak mendapatkan dos penggalak sebelum Mac ini.
“Jika mereka tidak mendapatkan dos penggalak pada Februari ini, sijil vaksinasi kuning mereka akan bertukar menjadi putih mulai 1 Mac,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengulangi peringatan agar semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.
Mengenai bekas pesakit COVID-19 yang dibenarkan pulang dari pusat kuarantin dan kebolehjangkitan virus sekiranya berada dalam ruang kenderaan yang terhad, Khairy berkata kesannya adalah sangat minimum.
“Sangat-sangat minimum (kebolehjangkitan). Sebaik sahaja anda keluar dari PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19), anda adalah negatif (daripada wabak itu),” katanya menyarankan agar mengelakkan sentuhan pada individu dalam kenderaan. – TVS