KUCHING, 8 Feb : Seramai 3,587 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bakal bergraduasi sempena majlis Konvokesyen UNIMAS ke-25 yang berlangsung dari 14 hingga 17 Februari ini.
Pendaftar UNIMAS, Azlan Ramli berkata ini merupakan majlis konvokesyen secara bersemuka yang pertama universiti berkenaan susulan pandemik COVID-19.
“Sebelum ini majlis-majlis konvokesyen telah ditangguhkan, jadi ini adalah kali pertama dalam tempoh tiga tahun UNIMAS adakan majlis konvokesyen secara bersemuka.
“Kami juga telah menjemput Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk hadir bersama-sama kami dalam sesi penganugerahan kepada graduan-graduan pada 16 dan 17 Februari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) majlis, beliau memaklumkan hanya graduan sahaja yang dibenarkan hadir secara fizikal.
“Kita tidak menjemput ahli keluarga kerana SOP memperuntukkan untuk kita menjaga jarak fizikal, mengelak berlakunya kontak rapat selain mematuhi kapasiti yang dibenarkan mengikut saiz dewan,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, seramai 424 daripada 3,587 pelajar UNIMAS yang bergraduasi pada tahun ini merupakan pelajar di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan juga Masters.
Selain itu, daripada jumlah berkenaan juga, sekurang-kurangnya 66 pelajar adalah pelajar antarabangsa.