SANDAKAN, 7 Feb: Tiada tangkapan berkaitan kumpulan Abu Sayyaf di Sandakan, Sabah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superitendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, khabar angin berkaitan gambar tular pasukan polis membuat operasi adalah tidak benar.
“Gambar yang tular di media sosial itu adalah pemeriksaan dan operasi rutin yang dijalankan oleh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan yang lain.
“Tiada sebarang operasi penangkapan berkaitan kumpulan Abu sayyaf di daerah Sandakan sebagaimana khabar angin yang tular di Facebook baru-baru ini dan di dalam gambar itu hanya kelihatan pasukan keselamatan sedang menjalankan tugas mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Fuad meminta orang ramai untuk menghubungi polis bagi mendapatkan pengesahan sekiranya terdapat kemusykilan.
Katanya, tindakan yang tidak bertanggungjawab seperti menularkan isu-isu sebegini boleh mendatangkan kebimbangan pada orang ramai.
Malah, tegasnya, individu yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. – TVS