SIBU, 6 Feb : Penantian seorang isteri menunggu suaminya pulang dari memukat ikan dikejutkan dengan perkhabaran lelaki itu dikhuatiri lemas berdekatan Pengkalan Feri Sungai Maaw, Paradom, di sini petang semalam.
Terdahulu, Sia Yii Jeng,63 ,difahamkan memberitahu isterinya, Ting Yii Sui yang dia akan pulang pada pukul 12.30 tengah hari kerana mahu menghantar anak mereka ke lapangan terbang namun tidak muncul.
Yii Sui kemudiannya menghubungi suaminya namun panggilan tidak berjawab menyebabkan ahli keluarga mencarinya di kawasan berhampiran.
Difahamkan, mereka menemui kereta milik Yii Jeng dalam keadaan berkunci berhampiran kawasan jeti Nan Chong dan membuat laporan di Balai Polis Lanang pada pukul 8.30 malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr Collin Babat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dan setakat pukul 9.50 pagi tadi, pasukan hanya menemui bot milik mangsa di Tanjung Ensurai.
” Seramai 17 orang termasuk sembilan anggota polis dari Balai Polis Lanang dan Pasukan Polis Marin (PPM) Sibu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu terlibat dalam operasi menggunakan tiga buah bot pada hari ini,” katanya. -TVS