ZHANGJIAKOU, 6 Feb : Therese Johaug memahat namanya selaku pemenang pingat emas pertama Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 menerusi acara skiatlon wanita semalam.
Wakil Norway itu dilihat meluncur laju melintasi garisan penamat dan kemudiannya menangis kegembiraan selepas emas yang diidamkan sejak zaman kanak -kanaknya sah berada dalam genggamannya.
Juara dunia sebanyak 14 kali ini telah beralih daripada gaya klasik kepada gaya bebas dan menang acara disertainya dengan kelebihan 30.2 saat.
Natalia Nepryaeva yang mewakili Jawatankuasa Olimpik Rusia pula meraih perak manakala Teresa Stadlober dari Austria merangkul pingat gangsa.
“Ia sangat menakjubkan serta sangat bermakna kepada saya berada di sini dan menang pingat emas individu pertama dalam temasya berprestij ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pingat itu.
Therese Johaug dari Norway memenangi emas pertama untuk sukan itu dan juga Sukan Olimpik Beijing 2022. – TVS