KUCHING, 6 Feb : Kejayaan cemerlang Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak lalu turut disumbang oleh kerja keras Pergerakan Wanita , Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang melakukan persediaan rapi ketika itu.
Ketuanya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pada masa sama, mereka juga berdepan pelbagai cabaran ketika mahu turun ke gelanggang pilihan raya, antaranya dilanda kebimbangan ekoran ancaman COVID-19 dan cuaca tidak menentu.
Sehubungan itu katanya, peranan yang dimainkan oleh Wanita PBB perlu dikekalkan bagi memastikan GPS terus mencapai kejayaan pada masa akan datang.
“Ini kerana (berjaya) disebabkan kerja keras kita sebelum dan semasa pilihanraya.
“Kita melakukan pecutan terakhir , jadi saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda semua kerana kita telah membuktikan kemahiran dan kemampuan Wanita PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Pergerakan Wanita PBB Sarawak di sini malam tadi.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Dalat pada masa sama turut menyifatkan, pergerakan berkenaan juga harus membiasakan diri dengan terma ‘kerja keras’ dan tidak harus berpuas hati dengan kejayaan dalam PRN sahaja.
“GPS merupakan sebuah parti yang menunaikan tanggungjawab , kita tidak bercakap kosong.
“Oleh itu saya ingin menyeru supaya teruskan sokongan dan bantu cabang – cabang lain dalam PBB untuk kejayaan pada masa hadapan,” katanya. -TVS