KOTA KINABALU, 6 Feb : Perkembangan COVID-19 di Sabah menyaksikan sebanyak 1,285 kes positif baharu dikesan bagi tempoh 24 jam yang lalu.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata , peningkatan berbanding 1,205 kes sehari sebelumnya sudah dijangka berikutan penularan yang pantas dalam kalangan komuniti.
Katanya, faktor utama kes harian yang tinggi di Sabah ketika ini disebabkan oleh kes sporadik iaitu pesakit yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks pertama dalam kluster tertentu.
“Kes sporadik mencatatkan 45.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang disahkan hari ini.
Selain itu, terdapat kes melibatkan saringan bergejala di kawasan bandar yang tinggi apabila hampir 50 peratus jangkitan baharu dikesan di Kota Kinabalu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Pada masa sama, Masidi turut meluahkan rasa kecewa berhubung ketidakpatuhan orang awam terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal semakin tidak diamalkan oleh rakyat Sabah dan inilah akibat yang perlu ditanggung oleh kita semua,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengakui kes baharu yang direkodkan dalam tempoh seminggu ini berkait dengan varian Omicron yang seterusnya menyebabkan lebih banyak saringan dijalankan.
Menurutnya, sebanyak 1276 kes hari ini adalah pada kategori satu dan dua berbanding hanya satu kes kategori lima. -TVS