KUCHING, 5 Feb : Tiga jalan utama di bandar raya ini akan ditutup sementara sempena penganjuran program Pagi Bebas Kenderaan di Kuching esok.
Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) , Mohamed Khaidir Abang berkata, tiga jalan tersebut ialah Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Pearl dan Jalan Barrack.
“Ianya akan ditutup kepada semua kenderaan bermula pukul 6.00 hingga 10.00 pagi bagi program berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media semalam.
Jelas Mohamed Khaidir, objektif penganjuran program berkenaan adalah untuk membantu mengurangkan kadar pelepasan karbon serta kesesakan jalan selain menggalakkan gaya hidup sihat.
“Kita juga mahu memupuk kesedaran warga bandar raya ini mengenai kepentingan menjaga alam sekitar di samping mewujudkan ruang interaksi dan aktiviti bagi penduduk,”katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pengguna jalan raya mematuhi arahan papan tanda yang disediakan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ketua Bahagian Keselamatan DBKUÂ Khalid Sulong di talian 082-495048. – TVS