BETONG, 5 Feb : Seorang pesara tentera yang dilaporkan hilang ketika memancing di Batang Skrang ditemukan lemas hari ini oleh penduduk kampung yang menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR).
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Henry Jugah berkata, mayat Baki Nyambong, 49, dijumpai pada pukul 8.39 pagi tadi, kira – kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat diserahkan kepada polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa dan abangnya keluar memancing di sungai berkenaan dan perahu yang dinaiki mereka terlanggar bongkah kayu di tengah sungai kira-kira pukul 6.00 petang ,pada Khamis lepas.
Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum dilaporkan hilang.
Abangnya kemudian memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung dan operasi SAR dilancarkan selepas itu. -TVS