Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sarawak COVID-19 rendah
Sarawak COVID-19 rendah

Bagaimana Sarawak ‘terselamat’ ketika ini ?

Semalam, netizen kembali ‘bercakap’ di media sosial apabila kes jangkitan baharu COVID-19 di Malaysia mencecah angka tertinggi pada tahun ini iaitu sebanyak 7,324 kes.

Agak lama kita tidak melihat kerisauan seperti semalam, masing – masing tampil dengan pelbagai komentar dan teori, tidak kurang ada yang awal – awal lagi mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ya, skripnya hampir sama seperti pada awal tahun lepas apabila kes COVID-19 ‘meroket’ secara tiba – tiba sehingga kerajaan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan selama lebih 200 hari.

Kita memahami kegusaran rakyat kerana sekiranya ‘lockdown’ kembali, sambutan perayaan paling meriah di Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri akan berterusan suram buat tahun ketiga berturut – turut.

Maka tidak hairanlah ramai yang membuat keputusan untuk pulang bercuti ke kampung halaman masing – masing ketika cuti Tahun Baharu Cina minggu lepas, kata mereka ‘cuti siap -siap’.

Sejak lebih seminggu lalu, kes positif baharu telah meningkat apabila ia berlegar di sekitar 5,000 angka selama beberapa hari. 

Kita juga bersimpati dengan situasi negeri jiran, Sabah apabila semalam mereka berdepan lonjakan kes lebih satu kali ganda kepada 909 kes berbanding 476 hari sebelumnya.

Hari ini kes baharu di Sabah khabarnya melebihi 1,000 kes!.

Pakar kesihatan awam sebelum ini telah menjangkakan situasi ini akan berlaku selepas sekatan perjalanan dilonggarkan selain kehadiran tetamu tidak diundang, si varian Omicron yang mula dikesan pada November lepas di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut mengesahkan Omicron sudah ada dalam komuniti dan tunggu masa sahaja hendak ‘meledak’.

Di sebalik kebimbangan akibat gangguan Omicron yang disahkan saintis sebagai sangat pantas menular, situasi kita kali berbeza apabila mempunyai ‘senjata’ untuk menentangnya.

Yang dimaksudkan sudah tentu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang telah menyuntik lebih 90 peratus populasi dewasa di Malaysia.

Berbanding ketika serangan varian Delta pada April hingga Oktober tahun lepas yang menyaksikan kes harian melonjak melebihi 20,000, ketika itu program vaksinasi sedang berlangsung malah tidak ramai yang telah melengkapkan dos masing – masing.

Berbalik kepada Sarawak pula, boleh dikatakan situasi pandemik di sini ketika ini tidak separah di negeri lain.

Kita harus akui krisis kesihatan ini berjaya ditangani dengan baik oleh kerajaan walaupun perhujung tahun lepas, rakyat negeri ini dikejutkan dengan ‘penemuan’ Omicron yang dipercayai penularan tempatan.

Berdasarkan data, sepanjang bulan lepas, Sarawak mencatatkan kes keseluruhan sebanyak 523 dengan lima kematian.

Lebih meyakinkan, terdapat tiga hari iaitu masing – masing pada 10, 16 dan 24 Januari yang menyaksikan negeri terbesar di Malaysia ini hanya mencatatkan kes satu digit dengan yang terendah sebanyak enam kes pada 16 Januari.

Ya benar, masih terlalu awal untuk Sarawak mengisytiharkan kemenangan namun sinar kejayaan sudah kelihatan berdasarkan data di atas.

Sejak pemberian dos penggalak bermula, data oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-18 (CITF) menunjukkan Sarawak merupakan negeri tertinggi populasinya menerima suntikan ketiga iaitu mencecah 70.5 peratus atau seramai 1,440 842 orang.

Ini sekaligus jauh mengatasi purata kebangsaan iaitu 50.8 peratus setakat 30 Januari lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak semalam mengulas tentang perkembangan di negeri ini.

Meluahkan rasa bangga, Dr. Sim berkata, beliau kagum dengan solidariti yang ditunjukkan rakyat Bumi Kenyalang ini apabila ‘tidak banyak karenah’ dan majoriti melaksanakan tanggungjawab masing – masing iaitu mengambil suntikan dos penggalak.

Ini seterusnya menyaksikan Sarawak mencatat kes baharu yang sangat rendah berbanding keluasan dan populasinya (Sarawak negeri keempat memiliki penduduk teramai di Malaysia dengan 2.8 juta).

Membentangkan peratusan vaksin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah itu berkata, rakyat Sarawak bersolidariti dalam peperangan menentang COVID-19.

” Sebanyak 91 peratus atau lebih 1.8 juta populasi dewasa Sarawak lengkap dua dos, 85.4 peratus rakyat berusia 12 hingga 18 tahun juga menerima dos lengkap dan sebanyak 83.3 peratus populasi berusia 18 tahun ke atas juga menerima suntikan dos penggalak dan 75.8 peratus keseluruhan populasi telah divaksin,” katanya.

Seperti negeri lain, Sarawak juga telah mula memvaksin kanak – kanak berusia lima hingga 11 tahun dengan anggaran 272 500 orang kanak – kanak layak divaksin.

Benar vaksin bukan penyelesaian total kerana Singapura yang telah memberi suntikan penggalak kepada hampir 60 peratus penduduknya semalam mencatatkan kenaikan kes luar biasa iaitu 13,000 kes namun majoritnya sihat dan bergelaja ringan.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu juga mengatakan majoriti sembuh malah lebih menjanjikan sinar melawan COVID-19, negara itu juga baru – baru ini telah meluluskan PAXLOVID Pfizer sebagai ubat pil pertama untuk rawatan COVID-19 dengan gejala ringan hingga sederhana bagi pesakit dewasa yang berisiko tinggi , bertujuan mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian.

Besarlah menjadi harapan kita semua agar COVID-19 tahun ini tidak memberi gangguan seperti dialami dua tahun lepas sehingga banyak urusan tergendala malah tidak kurang yang kehilangan mereka yang disayangi.

Dari Kuching, kami juga mendoakan situasi negeri lain juga bertambah baik dan Malaysia secara amnya tidak mengalami lonjakan kes yang luar biasa.

Apa pilihan yang kita ada sekarang ?Patuh prosedur operasi standard (SOP) dan mainkan peranan kita masing – masing. Sarawak mampu, Malaysia juga mampu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan