GEORGE TOWN, 5 Feb : Bedah siasat ke atas wanita ditemukan mati dipercayai dibunuh suaminya, sebelum lelaki itu terjun dari tingkat 12 rumah mereka di Paya Terubong, di sini semalam mendapati terdapat sebanyak 34 kesan tikaman di badan mangsa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V.Saravanan berkata bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini mendapati, wanita berusia 46 tahun tersebut mati disebabkan 34 tikaman di beberapa bahagian badannya.
“Berdasarkan laporan bedah siasat juga mendapati, wanita itu dipercayai meninggal dunia iaitu kira-kira tiga jam sebelum pihak polis menemui mayatnya berlumuran darah di atas katil, dalam sebuah bilik di rumah pasangan berkenaan.
“Terdahulu ibu wanita itu membuat laporan polis pada 12.30 tengah hari selepas rumah anak dan menantunya gagal dibuka dan pintu berkunci dari dalam, dia yang bimbang keselamatan mereka bertindak membuat laporan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya berdasarkan siasatan, polis tidak menolak kemungkinan suami wanita bertindak menikam mangsa berikutan cemburu, dan pasangan tersebut dipercayai sering bergaduh sejak tiga bulan lepas. -TVS