KUCHING, 4 Feb : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak menjelaskan peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini telah menyumbang kepada gangguan ke atas bekalan telur ayam pada ketika ini.
Pengarahnya, Datuk Stanley Tan berkata, berlaku juga kelewatan penghantaran bekalan telur dari ladang ke pemborong dan peruncit di beberapa tempat di Sarawak ekoran terdapat ladang-ladang ternakan ayam dan telur ayam serta syarikat-syarikat logistik penghantaran tidak beroperasi sepanjang cuti Tahun Baharu Cina.
“Kementerian yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi di semua lokaliti di Sarawak apabila ladang-ladang pengeluar telur ayam dan syarikat-syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian panik.
Pada masa sama ujar beliau, KPDNHEP Sarawak juga telah mengarahkan semua peruncit untuk memperbaharui stok di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula.
” Berdasarkan data pengeluaran telur ayam melibatkan 10 syarikat telur ayam yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di Sarawak , dianggarkan sebanyak 1,540,000 biji telur ayam sehari telah dikeluarkan pada awal bulan ini,” katanya.
Menurut beliau, seramai 173 orang Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak dan 101 Pegawai Pemantau Harga sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari ke atas kedudukan bekalan barangan keperluan utama di setiap rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.
“Selain ayam dan telur, barang-barang lain yang turut dipantau termasuklah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur ayam dan bawang,” katanya. – TVS