KOTA KINABALU, 4 Feb : Lebih 23 578 orang kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Sabah telah didaftarkan untuk menerima suntikan vaksin COVID- 19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, lima buah hospital pakar di negeri ini telah memulakan suntikan vaksin kepada kanak – kanak.
“Lima hospital berkenaan termasuklah Hospital Wanita dan Kanak – kanak Sabah (HWKKS), Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau,”katanya menerusi kenyataan media semalam.
Katanya lagi, bermula esok, perluasan secara menyeluruh pemberian vaksin kanak – kanak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan terus ditingkatkan di seluruh negeri.
“Sehubungan itu, saya menggesa ibu bapa dan penjaga untuk terus mendaftarkan anak – anak masing – masing melalui aplikasi MySejahtera menggunakan dokumen Kelahiran Mykid atau sijil kelahiran” katanya.
Menurutnya lagi, program outreach secara menyeluruh ke kawasan pedalaman juga akan dilakukan bagi memastikan tiada yang tidak terkecuali menerima suntikan vaksin COVID-19 -TVS