SIBU, 3 Feb : Sambutan Tahun Baharu Cina seorang lelaki warga emas bertukar suram apabila kenderaan milik syarikatnya yang berada ‘ di bawah jagaannya ‘ yang diparkir di belakang sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini lesap disyaki dicuri pada pagi Selasa lalu.
Pengadu berusia 67 tahun yang merupakan penyelia di sebuah ladang kelapa sawit di Mukah menyedari kehilangan kereta pancuan empat roda jenis Toyota Hilux Single Cab ketika hendak mengambil semula kenderaan itu pada pukul 7.30 pagi.
Katanya, sebelum kejadian, dia telah mengambil langkah keselamatan apabila meninggalkan kenderaan itu dalam keadaan berkunci namun alat penggera tidak berbunyi.
“Saya mengambil keputusan untuk menginap di hotel berkenaan dan memarkir kereta di situ kerana rumah di Jalan Merdeka dipenuhi dengan anak – anak yang pulang untuk menyambut Tahun Baharu Cina, tidak sangka jadi begini pula,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Katanya, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Sentral Sibu dan kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr Collin Babat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, siasatan polis mendapati tempat kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
” Hasil pemantauan polis di kawasan sekitar mendapati hanya terdapat sebuah rumah yang bertentangan dengan tempat kejadian memiliki CCTV.
Usaha mengesan suspek dan kenderaan yang hilang dihebahkan kepada petugas semua unit peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu,” katanya.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. -TVS