BEIJING, 3 Feb : Pelakon terkenal, Jackie Chan menyertai acara larian obor berganti – ganti Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 di Tembok Besar China.
Chan, 67, yang popular di seluruh dunia menerusi deretan filem aksinya berkata, dia bangun pada pukul empat pagi kerana teruja untuk menyertai acara istimewa berkenaan walaupun ini bukanlah kali pertama terlibat.
” Ini merupakan larian obor Sukan Olimpik yang keempat yang disertai oleh saya namun keterujaannya tetap sama,” katanya kepada media.
Acara tradisi berkenaan membuka tirai Sukan Musim Sejuk yang ‘membuka gelanggang’ esok sehingga 20 Februari nanti.
Edisi kali ini berlangsung secara sederhana berbanding Sukan Olimpik Musim Panas 2008 yang turut dihoskan oleh negara berkenaan.
Selain Jackie, ikon sukan China yang juga juara ping pong Olimpik, Ma Long serta Wu Jingyu yang merupakan pemenang pingat emas dua kali acara taekwando turut terlibat dalam larian di sepanjang tembok ikonik berkenaan.
Difahamkan, hari ini obor akan dibawa ke Zhangjiakou, di wilayah Hebei yang merupakan tempat utama pertandingan.
Sukan Olimpik Musim Sejuk ini akan berlangsung dalam kawasan tertutup dan hanya akan dihadiri oleh segelintir penonton sahaja berikutan ancaman COVID-19 yang belum berakhir. -TVS